Rabu, Ogos 26, 2009

Permatang Pasir

Tahniah diucapkan kepada PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya kerana berjaya mengekalkan DUN Permatang Pasir. Walaupun majoriti yang dimenangi oleh YB Mohd Salleh Man hanya 4,451 undi, berbanding yang diperolehi oleh Allahyarham Dato' Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 5,433 pada PRU 12 lalu, ini bukan bermakna undi terhadap PAS merosot tetapi disebabkan peratusan mengundi menurun daripada 82.57% kepada 73.1%.

Pakatan Rakyat juga patut bersyukur kerana dalam bulan Ramadhan yang mulia ini dihadiahkan kemenangan besar yang boleh dibanggakan kerana PRK bukannya medan PR berlawan dengan BN sahaja tetapi dengan seluruh jentera kerajaan. Kemenangan ini merupakan rahmat dari Allah juga kepada pekerja-pekerja parti yang komited dan ikhlas dalam perjuangan.

Dengan kemenangan ini, BN dan UMNO mengekalkan rekod "menang dalam kalahnya" tujuh kali berturut-turut. Nampaknya angin perubahan Manik Urai tidak sampai ke Permatang Pasir. Betul la kata Tengku Razaleigh bahawa apa berlaku di Manik Urai tak melambangkan apa-apa pun, cuma pemimpin-pemimpin UMNO saja yang syok sendiri.

Pada pandangan umum pemimpin-pemimpin UMNO sedar akan penolakan rakyat kepada parti itu, tetapi atas sifat angkoh dan sombong, mereka tidak pernah sekali-kali mengaku kenyataan ini. Berbagai alasan diberikan untuk menyanggah kenyataan ini, sehinggakan terkeluar ucapan "Bukannya Pembangkang yang Menang, tapi UMNO yang Kalah". Apa maksudnya tu? Siapa kalah? Siapa menang? Dah cakap serupa keling je bunyinya, berputar-putar. Kalau kalah tu terima sajalah dan muhasabah diri banyak-banyak. La ni pun dalam bulan Ramadhan, elok la masing-masing muhasabah diri.

Jangan la besok bagi alasan kalah sebab PR halang pengundi keluar mengundi atau bela 1,000 pengundi hantu di Permatang Pasir.

Akhir sekali saranan kepada BN dan UMNO lain kali tak yah la bertanding kalau rasa nak kalah, kerana ini akan merugikan wang rakyat saja.

Khamis, April 30, 2009

Najib: Selepas Tamu Nak Balik Baru Nak Buka Pintu

Sumber : msomelayu.blogspot.com

KATA presiden Umno, Mohd Najib Razak, Umno sepatutnya tidak menjadi parti yang eksklusif sebaliknya bersifat inklusif. Apa yang dimaksudkan Najib Umno tidak boleh jadi parti dianggotai kaum elit sahaja sebaliknya ia perlu menjadi milik semua orang termasuk kaum lain dari semua lapisan masyarakat.

Apa yang Najib hasratkan Umno bukan saja menjadi hak orang Melayu tetapi semua rakyat Malaysia! Parti semua kaum dan etnik.

Selain itu katanya Umno juga tidak boleh mengekalkan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong pihak tertentu. Ertinya Najib tidak mahu politik cantas mencantas atau cas kenting berlaku dalam parti berkenaan.

Apakah ini permbaharuan dan islah yang Najib nak bawakan? Najib sedang bergerak ke araha meliberalisasikan keahlian Umno. Menjadikan Umno parti majmuk untuk semua orang seperti mana slogannya Satu Malaysia.

Najib berkata demikian pada majlis makan malam disambutan 15 tahun Umno Cheras di Kuala Lumpur malam tadi.

Hasrat Najib itu memang bagus dalam tindakan untuk memperkasakan parti Umno. Umno perlu diselamatkan sekiranya ia tidak mahu kehilangan kuasa di atas muka bumi ini. Tetapi cadangan dan pembaharuan itu dilihat sudah terlewat. Keghairahan Umno kepada perjuangan Melayunya selama ini perlahan-lahan telah memakan diri Umno sendiri.

Pemulihan yang hendak dilakukan Najib menerusi pendekatan dan perubahan baru itu sudah begitu lambat. Kesedaran serius itu setelah Umno berada dalam keadaan parah dan hilang kepercayaan umum kini. Tidak ada apa-apa tali hayat lagi yang bisa menyelamatkan Umno.

Najib terpaksa membuat anjakan itu mungkin setelah beliau menyedari bahawa orang bukan Melayu tidak lagi boleh menjadi pemangking kepada kekuatan politik Umno. Manakala dari sehari ke sehari jurang di antara orang bukan Melayu dengan Umno semakin senggang dan menjarak. Sesetengah orang bukan Melayu melihat Umno sebagai zalim terhadap mereka.

Apa yang membuatkan keadaan ini ialah kerana dasar dan pendekatan diamalkan selama ini. Politik menyanjung bangsa meneteskan perasaan cemburu dan prejudis yang tinggai di kalangan kaum. Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan namun Umno supaya meninggalkan dogma itu ia tidak pedulikannya. Umno lebih percaya monopoli kuasa olehnya menyebabkan parti itu akan kuat selama-lamanya.

Hari ini keadaan berbeza sama sekali. Pihak pembangkang, begitu kuat dan semakin mendapat perhatian. Kemaraan pembangkang untuk menguasai Malaysia kini tidak boleh dihalang oleh apa-apa kuasa lagi melainkan berlaku bencana dan musibah besar kepada pakatan itu.

Hari ini orang Cina maupun India yang masih menerima Umno hanya mereka yang berkepentingan saja untuk menyelamatkan diri dan harta. Sokongan itu umpama menanam tebu di bibir mulut saja.

Lantaran itu cadangan dan hasrat Najib itu dilihat sebagai usaha Najib ke arah untuk meliberalisasikan Umno. Serentak itu ia sekaligus menggambarkan ianya sudah terdesak. Kerana masalah ini tidak mustahil kalau di masa depan Najib akan mencadangkan supaya semua parti komponen BN dibubarkan di BN didaftarkan sebagai sebuah parti.

Pembubaran atau perwujudan parti BN itu bukan dilihat sebagai jalan memperkuatkan Umno atau parti-partinya, sebaliknya ia memperlihat betapa Umno terpaksa mencari tali hayat dengan perubahan itu. Kalau tidak meleburkan Umno bersama komponen lain dalam BN, menyebabkan Umno semakin cepat akan berkubur.

Sepatutnya Umno sudah lama memikirkan ke arah itu menjadikan Umno tidak saja untuk orang Melayu dan menanggalkan semangat nasionalisme. Perwujudan parti-parti atas nama kaum inilah yang memecah belah perpaduan dan menguatkan sentimen perkauman. Jika Pas yang satu masa dulu dilihat bergitu taksub dengan agamanya boleh meliberalkan parti untuk menyesuaikan dengan perubahan masa apalah salah Umno. Umno lebih senang dinuteralkan berbanding dengan Pas.

Apabila baru kini Umno berfikir demikian ia menampakkan Umno sudah terlewat dan terdesak. Cara Najib nak buka pintu Umno kepada semua masyarakat dan lapisan itu tak ubah seperti gelagat tuan rumah yang baru hendak membuka pintu kepada tetamu yang sudah lama mengetuk dan memberi salam ditangga. Langkah itu sudah terlewat kerana tetamu sudah pun berpaling punggung untuk pulang.

Aduan Saravanan Tidak Tepat - Tiong Lai

Sumber : utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 April - Aduan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mengenai dua doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'mencuri tulang' dengan membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi pada waktu bertugas adalah tidak tepat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pegawai perubatan siswazah yang dilaporkan membaca akhbar ketika bertugas sebenarnya sedang menunggu untuk merawat pesakit seterusnya.

''Doktor ini telah memberikan rawatan kepada pesakit dan sedang menunggu kad rawatan pesakit seterusnya diserahkan kepadanya.

''Kebetulan seorang pesakit telah meninggalkan surat khabar di troli, doktor ini pun mengimbas beberapa tajuk utama akhbar itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saravanan sebelum ini dilaporkan 'menangkap' dua doktor di Jabatan Kecemasan HKL kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Tiong Lai berkata, aduan Saravanan bahawa terdapat 20 pesakit sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan juga tidak benar.

''Siasatan menunjukkan hanya terdapat lapan pesakit yang sedang menunggu, pesakit-pesakit ini bagaimanapun diiringi kira-kira 20 ahli keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata, rawatan yang diberikan HKL kepada M. Ravathy, 23, iaitu penunggang motosikal yang berlanggar dengan kereta Saravanan adalah sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

''Pesakit ini telah dirawat dengan segera dengan keseluruhan rawatan dijalankan dalam 45 minit selepas mangsa dimasukkan ke Jabatan Kecemasan.

''Malah, pesakit diberi rawatan yang sewajarnya dalam tempoh masa ditetapkan dan doktor berkenaan tidak melakukan sebarang kecuaian," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Saravanan memberitahu Utusan Malaysia, beliau telah menghubungi Menteri Kesihatan hari ini dan akan menerima apa juga keputusan yang diambil berhubung kes tersebut.

"Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini, tetapi saya hanya berharap semua kakitangan sektor awam akan bekerja dengan cekap, cepat dan rajin kepada masyarakat negara," katanya.

Komen : Inilah jadinya bila Menteri lain, buat keje kementerian lain. Huaaaaa...hahahha...hhahahahahh....

Harga ayam: Kerajaan Perlu Campur Tangan

Sumber : utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 April - Majoriti pengguna mahu kerajaan campur tangan dalam penentuan harga ayam di pasaran bagi mengelakkan ketidakseimbangan harga yang membebankan orang ramai.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, campur tangan itu perlu bagi membantu menyelesaikan masalah harga ayam yang sering tidak menentu.

"Harga ayam sekejap naik sekejap turun, kalau tidak dikawal oleh kerajaan memang susah. Inilah jadinya apabila penentuan harga barang dipegang oleh satu pihak.

"Lebih elok jika kerajaan terlibat dalam proses penentuan harga atau kerajaan menjadi pihak terakhir menentukan harga sesuatu barang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) semalam mengumumkan harga ayam daging di seluruh negara naik di antara 40 sen dan 60 sen sekilogram berasaskan faktor permintaan dan bekalan semasa.

Menurut Jacob, pihak terbabit dilihat sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga ayam setelah dunia digemparkan dengan wabak penyakit selesema babi.

"Kecoh selesema babi, jadi pengguna yang makan babi pasti beralih makan ayam. Mereka mengambil jalan pintas dengan menaikkan harga ayam. Ini sangat ketara dan kita sudah kenal pasti situasi itu," jelasnya.

Katanya, tindakan memboikot adalah alternatif terbaik sekiranya harga ayam di pasaran tidak turun.

Dalam hal ini, beliau menggesa kerajaan supaya bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan atau menjadi punca kenaikan harga ayam.

"Kerajaan perlu siasat, kalau alasan mereka tidak munasabah, kerajaan kena ambil tindakan. Tarik saja lesen pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Subramaniam turut menyokong pendapat CASSA.

"Kerajaan perlu masuk campur agar monopoli satu pihak dapat dihapuskan.

"Dalam soal harga ayam ini, kalau boleh kerajaan yang buat keputusan akhir. Barulah sesuatu harga barang itu tidak akan naik sewenang-wenangnya," katanya.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, pula berpendapat, perlu wujud rangkaian pembekal baru agar monopoli dihapuskan.

"Pihak kerajaan perlu membiayai serta memberi pelbagai kemudahan kepada pembekal-pembekal baru untuk mewujudkan rangkaian baru. Ini akan dapat membantu memecahkan sistem monopoli.

"Sebagai contoh, pembekal-pembekal Melayu bersatu membuka ladang ternakan di pinggir Kuala Lumpur atau mana-mana sahaja. Menerusi alternatif itu, pembiakan ayam bertambah dan wujud rangkaian pembekalan yang pelbagai," katanya.

Husam Tanding Timbalan Presiden?

Sumber : utusan.com.my

KOTA BHARU 29 April – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilihat sebelum menawarkan diri ialah sama ada tindakan itu akan mengganggu arah tuju Pas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, Pas perlu membuat keputusan secepat mungkin kerana tempoh enam sehingga 12 bulan dari sekarang adalah waktu yang amat kritikal kerana diramalkan akan berlaku pilihan raya.

“Jika arah tuju Pas diperjelaskan dan tidak ada keraguan dalam hubungan sulit antara Pas dan UMNO, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang jawatan sedia ada.

“Tetapi pada pendapat saya, trend yang berlaku sekarang wujudnya keraguan terhadap hala tuju Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain penyandangnya, Nasharuddin Md. Isa, Naib Presiden Pas, Mohammad Sabu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali turut berminat untuk bertanding jawatan itu.

Husam menegaskan, Pas tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya.

Ditanya kenyataan Nasharuddin bahawa beliau diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan muktamar termasuk mengadakan perbincangan dengan organisasi luar termasuk UMNO, beliau berkata:

“Itu yang jadi keliru, sebagai Naib Presiden pun saya keliru. Lembap sikit nak faham benda macam ini, kalau berbelit-belit susah, saya lebih senang berterus-terang saja,”.

Beliau bagaimanapun berkata, pemilihan jawatan utama dalam parti itu terutama Timbalan Presiden mungkin diselesaikan melalui sesi muqabalah.

Isu Kerajaan Perpaduan: Nik Aziz Tegur Anaknya

Sumber : malaysiakini.com

Nik Abduh - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat - telah ditegur oleh bapanya selepas menulis dalam blognya, menghentam pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

younger nik azizNik Abdul Aziz telah menghubungi anaknya itu dari Mekah, meminta beliau supaya "memadamkan kekeliruan" dan "jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama" berhubung isu itu.

Perkara itu dijelaskan oleh Nik Abduh sendiri catatan blognya semalam. Nik Aziz sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci.

"Saya pastinya tersentak (selepas mendapat panggilan itu). Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan, walaupun perbualan (itu) hanyalah sekitar dua, tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

"Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama," coretnya dalam blognya semalam.

"Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu," tulisnya.

nik mohd abduh nik azizDalam blognya sebelum ini, Nik Abduh menghentam pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi.

'Tanya Nik Aziz sendiri'

Sebagai reaksi daripada kenyataan itu, seorang naib presiden PAS, Ahmad Awang dilaporkan berkata, dakwaan Nik Abduh boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli PAS mengenai siapakah yang dimaksudkannya.

ahmad awangAhmad juga terkejut dengan tulisan Nik Abduh yang dianggap kasar apabila menyifatkan usaha pembantu Nik Aziz tersebut sebagai satu usaha yang 'sesat'.

Mengenai perkara itu, Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bagaimanapun masih enggan mendedahkan siapakah pembantu yang dimaksudkannya itu.

"Adapun maksud saya, (mereka) adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh-puluh (orang)," coretnya yang juga timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Berhubung isu kerajaan perpaduan bersama BN, bagi mendapatkan tafsiran yang terbaik, Nik Abduh menyarankan media massa dan pembaca blognya supaya bertanyakan hal itu sendiri kepada Nik Aziz.

"Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia (Nik Aziz) sendiri. Saya tidak memerlukan jawapan itu," katanya.

PAS: 'Mi Celup' lawan 'Mi Goreng'

Sumber : malaysiakini.com

Nik Abduh - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat - menjadi sasaran kritikan keras dua pemimpin yang dikaitkan dengan "Kumpulan Erdogan" selepas menghentam pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

abdul khalid samadAhli jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad menyifatkan "tuduhan secara borong" Nik Abduh itu sebagai "tidak bertanggungjawab", "kurang matang" dan "mengundang fitnah".

"Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggungjawab dan mengundang fitnah. Hasil daripada tuduhan ini, akan wujud suasana syak-wasangka dan saling tuduh-menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu," coretnya dalam blognya hari ini.

Sebelum ini, Nik Abduh menghentam pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi.

nik mohd abduh nik azizDalam blognya sebelum ini, Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu bapanya sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup', lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga".

Mengulas lanjut, Khalid menasihatkan budaya "menggunakan istilah menghina terhadap sahabat seperjuangan" dalam parti hendaklah dihentikan.

"Saya harap budaya ini ditamatkan. Dan sebagai pemimpin Pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik.

'Sikap angkuh'

"Istilah-istilah seperti 'pejuang nafsu', 'ulama mi celup' dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh," coretnya lagi.

Khalid juga berkata, dakwaan Nik Abduh bahawa bapanya "menerima muzakarah atau muqabalah, selepas bermatian menolaknya" sebagai "tidak tepat".

"TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) tak pernah menerima ‘muzakarah' dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah'.

"Ulama 'mi celup' pun faham beza muzakarah dan muqabalah, takkan yang 'ulama mi goreng' tak faham? Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali," sindirnya.

Sementara itu, Exco Pemuda PAS Pusat, Abdullah Abdul Karim mendesak rakan sejawatannya itu mendedahkan nama pembantu Nik Aziz yang didakwanya cuba melaga-lagakan mursyidul am PAS itu dan Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

Ini kerana, kata Abdullah, tindakan tidak menamakan identiti pembantu Nik Aziz secara terperinci, boleh mendorong berlaku pepecahan dalam parti.

"Untuk mengelak daripada berpecah-belah, tolong namakan segera.

'Tunjuk bukti'

"Jangan berselindung di sebalik tulisan. Namakan segera," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Untuk mengelak dan menyelesaikan perkara ini, tolong namakan dan tunjukkan bukti," tambahnya.

Tindakan Nik Abduh yang mendakwa pembantu-pembantu bapanya dengan tuduhan tersebut, adalah satu "tuduhan yang serius", tambahnya.

Ekoran itu, kata Abdullah, hal tersebut menyebabkan ahli dan pimpinan yang lain, tertanya-tanya siapakah pembantu bapanya yang dimaksudkan.

"Mereka tertanya-tanya. Adakah ia ditujukan kepada (setiausaha politik Nik Aziz) Anual Bakri Haron atau (Naib Presiden PAS) Datuk Husam Musa?

"Dia (Nik Abduh) tak sebut nama menyebabkan orang yang dituduh tak boleh bela diri.

"Mengikut prinsip Islam, orang yang menuduh kena tunjuk bukti. Ini tidak, dia buat tuduhan orang lain kena buktikan," kata Abdullah lagi.